SELAMAT DATANG & WARM WELCOME...Sokong Blog KRT PTKJ2 dengan mendaftar sebagai 'Sahabat Kita'... Kepada yang telah mendaftar ribuan terima kasih atas sokongan anda, "Bersama menuju kesejahteraan dan kecemerlangan : Dari Mohd Esa Ali (Pengerusi) & AJK KRT PTKJ2 Email kami : krtptkj2@gmail.com

SRS Info

(dipetik dari http://www.jpnin.gov.my)

A. Objektif


Objektif utama pelaksanaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) adalah seperti berikut :
  • Membantu mencegah jenayah dan menangani gejala sosial;
  • Membantu menguatkuasakan undang-undang;
  • Memberi perlindungan kepada nyawa dan harta benda;
  • Mempertingkatkan semangat kejiranan di kalangan penduduk setempat; dan
  • Memulihkan keadaan setempat agar menjadi aman dan sejahtera

B. Cara Permohonan

PROSES PERMOHONAN DAN KELULUSAN SKIM RONDAAN SUKARELA

1. PERMOHONAN DARIPADA PEMASTAUTIN SUKARELAWAN  (PERONDA DI KAWASAN/SEKTOR RUKUN TETANGGA)
a)  Sekurang-kurangnya  20 orang  Pemastautin Sukarelawan yang berumur 18 tahun dan ke atas, hendaklah mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Kawasan/Sektor Rukun Tetangga untuk mengadakan Skim Rondaan Sukarela.
  • Permohonan hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang Enam, Bahagian A dan melengkapkan semua maklumat yang dikehendaki.

2.TINDAKAN OLEH JAWATANKUASA KAWASAN/SEKTOR RUKUN TETANGGA
a)  Menerima dan menyemak butir-butir yang terkandung di dalam Borang Enam Bahagian A yang dikemukakan oleh Pemastautin Sukarelawan.
b)  Memastikan syarat-syarat seperti bilangan minimum Pemastautin Sukarelawan dan umur mereka seperti yang ditetapkan.
  • Memastikan semua Pemastautin Sukarelawan telah menandatangani Borang Enam.
  • Menyemak pelan lakar kawasan rondaan yang dicadangkan.
  • Mengisi Borang Enam Bahagian B jika bersetuju dengan cadangan untuk menjalankan rondaan sukarela dan mengemukakan Borang Enam kepada Pengarah Perpaduan Negeri/Pegawai Perpaduan Daerah/Bahagian (PPN/PPD/PPB).
  • Mengisi Borang Enam Bahagian C jika tidak bersetuju dengan cadangan untuk menjalankan rondaan sukarela dan mengemukakan Borang Enam kepada PPN/PPD/PPB.

3.TINDAKAN OLEH PPD/PPB
a)  Menyemak borang permohonan.
b)  Meneliti butir-butir Pemastautin Sukarelawan seperti yang terkandung di dalam Borang Enam Bahagian A.
c)  Memanggil Pengerusi Jawatankuasa Kawasan/Sektor  Rukun Tetangga yang berkenaan atau mana-mana Pemastautin Sukarelawan untuk mendapatkan maklumat–maklumat atau butir-butir lain yang dikehendaki berhubung dengan permohonan itu.
  • Mengesahkan sempadan kawasan rondaan.
  • Membuat perakuan dan mengemukakan permohonan kepada Ketua Pengarah Rukun Tetangga melalui PPN untuk pertimbangan dan kelulusan.

4.TINDAKAN KETUA PENGARAH RUKUN TETANGGA
a)  Mencadangkan apa-apa pengubahsuaian yang difikirkan wajar kepada skim yang dipohon.
b)  Meluluskanpermohonan Skim Rondaan Sukarela



C. Soalan Lazim SRS


S: Apakah itu Skim Rondaan Sukarela (SRS)?
J:  Skim Rondaan Sukarela (SRS) adalah suatu rancangan / skim yang dikendalikan oleh pemastautin sukarela yang mendiami Kawasan-Kawasan Rukun Tetangga demi menjaga keselamatan kawasan kejiranan mereka melalui aktiviti kawalan dan rondaan.

S: Apakah syarat-syarat untuk menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS)?
J: Syarat-syarat untuk menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) adalah seperti berikut :
a) Terdapat permintaan oleh sekurang-kurangnya 20 orang penduduk yang tinggal di dalam Kawasan Rukun Tetangga.
b) Berumur 18 tahun ke atas.
c) Warganegara Malaysia. Bukan warganegara boleh terlibat di dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) dengan syarat hendaklah memiliki dokumen perjalanan yang sah.

S: Bagaimana saya ingin menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan tempat tinggal saya?
J: Skim Rondaan Sukarela (SRS) boleh dipohon oleh sekurang-kurangnya 20 orang pemastautin sukarela berumur 18 tahun ke atas dan mendiami di dalam Kawasan Rukun Tetangga dengan melengkapkan Bahagian A Borang Enam yang boleh diperolehi daripada Pejabat Perpaduan Daerah / Bahagian di seluruh negara.Borang permohonan yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga untuk ditandatangani dan Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga seterusnya akan menghantar permohonan kepada Pegawai Perpaduan Daerah / Bahagian untuk semakan sebelum dimajukan kepada Pengarah Perpaduan Negeri untuk sokongan dan akhirnya kelulusan oleh Ketua Pengarah Rukun Tetangga.

S: Berapakah tempoh masa yang diambil untuk sesebuah Skim Rondaan Sukarela (SRS) diluluskan?
J: Jika semua maklumat yang dikemukakan adalah benar, betul dan tepat, maka, kelulusan boleh diperolehi dalam tempoh masa seminggu dari tarikh permohonan sampai di ibu pejabat.

S: Bagaimana cara untuk mengendalikan aktiviti rondaan?
J: Anggota-anggota peronda boleh merujuk kepada Buku Panduan Pengendalian Skim Rondaan Sukarela kaedah dan prosedur untuk melakukan aktiviti rondaan.

S: Adakah pihak-pihak yang meronda di bawah Skim Rondaan Sukarela (SRS) layak diberi cuti rehat setelah selesai menjalankan tugas rondaan?
J: Anggota perkhidmatan awam yang menjalankan tugas rondaan mulai jam 12.00 malam untuk tempoh sekurang-kurangnya empat (4) jam berturut-turut layak dipertimbangkan pemberian pelepasan bekerja oleh Ketua Jabatan masing-masing. Tempoh pelepasan bekerja adalah bersamaan 4 jam sahaja dan selepas tempoh tersebut, anggota perkhidmatan awam dikehendaki melapor diri bertugas di pejabat masing-masing. Kemudahan pelepasan bekerja belum lagi dipanjangkan kepada sektor swasta dan oleh yang demikian, anggota peronda boleh memohon budi-bicara majikan masing-masing untuk mendapatkan pelepasan bekerja.

S: Adakah peralatan rondaan disediakan kepada peronda-peronda semasa menjalankan tugas rondaan?
J: Peronda-peronda yang bertugas menjalankan tugas rondaan akan dibekalkan dengan baju vest, topi, lampu picit, wisel, baton light, peti pertolongan cemas, rotan dan baju hujan. Peralatan di atas hendaklah disimpan oleh Jawatankuasa Skim.

S: Apakah kuasa yang ada kepada peronda-peronda semasa mereka menjalankan tugas rondaan?
J: Menurut Peraturan 27I [peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga)1975(Pindaan)1988] menjelaskan bahawa anggota peronda semasa menjalankan tugas rondaan di dalam kawasan yang dibenarkan meronda disifatkan sebagai pegawai polis berpangkat konstabel dengan syarat semasa menjalankan tugas rondaan tertakluk kepada arahan dan kawalan Pengarah, Jawatankuasa Skim dan Ahli Jawatankuasa Skim.

S: Adakah anggota peronda diberi kuasa melakukan tangkapan?
J: Peronda yang menjalankan tugas rondaan dibenarkan melakukan tangkapan (citizen arrest) sebagaimana termaktub di bawah Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah iaitu menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh tangkap dan tidak boleh dijamin, yang berlaku pada pandangannya (depan mata) dan menyerahkan orang yang ditangkap kepada pegawai polis yang hampir sekali atau menghantar orang yang ditangkap ke balai polis yang berhampiran sekali.

S: Apakah bentuk perlindungan yang diberi kepada anggota-anggota peronda jika berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti kemalangan atau kecederaan?
J: Semua anggota peronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) di beri perlindungan insuran kemalangan diri berkelompok 24 jam dengan faedah-faedah berikut :
a) Kematian akibat kemalangan = RM 19,000.00
b) Keilatan kekal akibat kemalangan = RM 19,000.00
c) Perbelanjaan perubatan (maksimum) = RM 500.00
d) Elaun Harian Hospital = RM 20.00 sehari (maksimum 30 hari)
e) Khairat Kematian (akibat kemalangan) = RM 1000.00